Friday, January 31, 2014

Monolog Hati #2



"Sufi baru lepas menangis?" Diam. Pertanyaan Insyirah hanya dijawab angin yang lalu.

"Nanti dah okay, kalau Sufi rasa nak bercerita, ira ada untuk Sufi." Insyirah  ingin berlalu meninggalkan Sufi. Mungkin dia perlu bersendirian. Hati Insyirah bermonolog.

"Kenapa susah nak rasa bahagia ye, Ira?" Tiba-tiba Sufi mula bersuara. Insyirah tersenyum. Mula mengambil posisi tadi sambil memegang bahu Sufi.

"Pasal dia lagi ke?" Pertanyaan Insyirah dijawab dengan anggukan Sufi yang lemah.
"Apa yang Sufi rasa sekarang?"
"Kecewa Ira, hati Sufi hancur. Sufi tak sangka dia buat Sufi macam ni." Pecah lagi empangan airmata Sufi.

Insyirah memegang erat bahu Sufi. Ditatapnya wajah Sufi penuh simpati. Inilah masanya. Insyirah menarik nafas perlahan-lahan, berdoa moga tiada kata-katanya yang mengguris lagi hati sahabatnya itu.

"Alhamdulillah. Allah masih sayangkan Sufi."

"Kenapa Ira cakap macam tu? Ira suka Sufi kecewa?"

"Jangan bersangka macam tu dulu Sufi. Tiada sahabat yang mahu lihat sahabatnya bersedih. Dalam kondisi ini, Ira tahu Sufi tak dapat berfikir dengan rasional."

Senyap.

"Sufi rasa ini salah siapa yang buatkan Sufi kecewa?" Insyirah memulakan bicara dari hati ke hati.

"Mestilah salah dia. Sufi fikir dia baik Ira. Tapi sama sahaja dengan yang lain. Penipu!"

"Sufi pernah terfikir untuk meletakkan kesalahan pada diri sendiri?"

"Kenapa Sufi nak salahkan diri sendiri. Sufi dah buat sehabis baik. Sufi setia Ira. Sufi tak pernah menduakan dia."

Insyirah tersenyum. Tenang. Kuasa cinta sungguh hebat. Mampu membutakan mata hati yang merasainya. Sehingga orang hebat dalam agama juga kalah dengan namanya cinta. Hanya iman yang tebal mampu membendung cinta yang penuh nafsu. 

"Sufi, kecewa kerana cinta itu salah kita sebenarnya. Bukan salah siapa-siapa. Ya, dari segi insaniahnya memang si dia yang salah kerana menduakan cinta tapi itu bukan akarnya untuk kita menyalahkan orang lain."

"Maksud Ira?"

"Yang memilihnya kita. Kita yang memilih untuk kecewa. Memilih sesuatu yang tidak pasti. Sedangkan Allah itu pemilik cinta. Tapi kita lebih memilih cinta hamba-NYA daripada bersungguh-sungguh memiliki cinta-NYA. Hati manusia sifatnya bolak balik Sufi. Sebab itu jangan terlalu bergantung harap pada makhluk. Pasti kecewa yang kita akan dapat."

Sufi mula mencerna setiap butir bicara Insyirah. Ada benarnya. 

"Inilah masanya untuk muhasabah diri kita. Allah kejutkan Sufi dari terus lemas dengan cinta yang tak pasti. Kerana sayangnya Allah pada Sufi, DIA tunjukkan kebenaran yang bagi Sufi itu adalah kekecewaan yang berat. Tapi sebenarnya itulah petanda Allah nak naikkan 'grade' Sufi menjadi hamba yang lebih setia dengan cinta Allah. Allah cemburu Sufi. Allah cemburu melihat Sufi melebihkan cinta yang lain. Sufi tak rasa macam tu ke?"

Sufi mengesat air matanya. Bagaikan tersedar dari mimpi, Sufi memegang erat tangan Insyirah. 

"Ira, kenapa Sufi bodoh tak nampak semua tu? Selama ni Sufi ingat Sufi akan bahagia. Tapi Sufi silap mentafsir cinta. Terima kasih Ira. Kalau Ira tak nasihatkan Sufi, entah apalah Sufi akan buat nanti."

Insyirah masih mengekalkan senyuman. 

"Allah yang mengilhamkan ini semua. Segalanya Allah dah aturkan. Mohon ampun pada-Nya. Kembali pada-Nya dengan hati yang baru."

"Terima kasih Ira."

Sufi memeluk erat tubuh Insyirah.

Insyirah membalas pelukan Sufi. Sebak. Tanpa disedari air matanya jatuh jua.

"YaAllah.... semoga kata-kataku tadi tersemat jua dalam diriku. Menjadi benteng daripada kekecewaan."

********
www.tips-fb.com

No comments:

Post a Comment