Friday, February 7, 2014

Monolog Hati #3


Klik! Klik!
Bunyi menandakan satu mesej masuk.
Insyirah hanya menjeling seimbas. Fokusnya sedikit terganggu. Mesej itu tidak dihiraukan, cuba menghabiskan bacaan Al-Qurannya. 
Usai bacaannya tamat, Insyirah mencapai cik "Hello kitty" nya. Bibirnya mengukir senyuman apabila tertera nama Fadya, di skrin telefon bimbitnya. Segera dibuka mesej yang diterima.

"Ira, Fad tanya dia."

Insyirah mengerut dahi secara tiba-tiba. Tidak memahami apa yang ingin disampaikan Fadya. Tetapi Insyirah tahu subjek 'dia' yang ingin Fadya luahkan.

"Awak tanya apa?". Laju jari Insyirah menekan perut hello kittynya. Butang send ditekan.

Tidak sampai beberapa minit, mesej berbalas.

"Fad tanya dia, apa status hubungan kami?Jawapan yang dia beri macam dia tak pasti."

Insyirah membaca mesej yang diterima. Dia tahu benar perihal keakraban Fad dan Rizal. Masakan tidak tahu, Fadya itu sahabat baiknya. Cuba meraikan fitrah perasaan yang dialami Fadya, sesekali tidak akan menghukum seperti kebanyakan orang lain yang seakan meng'haram' terus apa yang dirasai Fadya. Insyirah hanya mampu memberi kata semangat dan selebihnya berdoa jika benar ini jalannya, pasti Allah akan tunjukkan kebenarannya.

"Sekarang apa yang Fad rasa?" Insyirah tidak terus memberikan kata-kata nasihatnya seperti selalu, sebaliknya bertanya terlebih dahulu kondisi perasaan Fadya untuk menyelami sendiri apa yang sahabatnya sedang rasakan.

"Sudah tiba masanya untuk Fad lupakan dia. Fad taknak berharap. Umi Fad pesan, jadi perempuan jangan terkejar-kejar sangat kalau orang dah tak suka kita. Fad rasa dia cuma anggap Fad kawan je. Nanti Fad yang perasan lebih. Tak suka!"

Insyirah tersenyum membaca balasan mesej daripada Fadya. Menyokong seratus peratus kata-kata Puan Salbiah, umi Fadya yang mesra disapa Umi Sal. Mana ada ibu yang mahu melihat anaknya terluka. Insyirah berfikir sejenak, mencari-cari ruang 'kasut' untuk dimasuki bagi menyelami perasaan Fad. Lantas laju jemari Insyirah menaip.

"Fad sayang, benar kata Umi dan Ira setuju dengan tindakan yang Fad nak ambil. Perasaan memang tidak boleh dijangka, datangnya tanpa diundang dan fitrah jangan dihalang, tapi harus dikawal. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana menciptakan lelaki dan perempuan itu berbeza tapi saling melengkapi. Kita kena arif dengan dunia lelaki. Ada perkara yang kita kena tahu, perempuan sifatnya mudah lembut hati dengan perhatian tetapi bagi lelaki itu cuma perhatian biasa. Kita yang harus kuat bentengnya. Jangan mudah kalah. Kuatkan pertahanan hati, jangan mudah diberi peluang untuk dicerobohi. Hanya lelaki istimewa sahaja yang layak untuk mendapatkannya iaitu lelaki bernama suami. Nak cari calon suami haruslah yang berani bertemu wali, bukannya berani mempermainkan hati. :)"

Insyirah membaca sekali lagi agar tiada kata yang boleh menyebabkan hati sahabatnya terluka. Apabila yakin dengan apa yang ditaip, Insyirah segera menekan butang send.

Lama. Sang Hello kittynya lama menyepi. Insyirah kaget, risau kalau ada kata-katanya membuatkan Fadya berkecil hati.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi menandakan mesej masuk.

"Ira, terima kasih atas nasihat yang sangat Fad perlukan. Fad terharu. Sekarang Fad rasa Fad dah jumpa balik kekuatan yang dulu. Izinkan Fad simpan kata-kata terakhir dalam mesej Ira tadi. Terasa yang selama ini Fad tak menghargai diri Fad.Ira, selalu ingatkan Fad ye kalau Fad tersalah langkah lagi. Terima kasih Ira. Fad sayang Ira."

Insyirah terharu. Kata-katanya diterima oleh Fadya. Entah datang dari mana idea yang mencurah-curah ketika ini untuk menenangkan hati si sahabat yang sedang berada dalam konflik perasaan. Insyirah menarik nafas dalam-dalam...

"YaAllah..sesungguhnya Engkau sangat dekat. Tepat masanya Engkau memberikan Ilham. Ku mohon YaAllah, jagakan sahabatku juga. Moga dirinya dalam jagaan-MU yang penuh damai."

********

www.tips-fb.com

No comments:

Post a Comment